Showing posts with label PERJUANGAN. Show all posts
Showing posts with label PERJUANGAN. Show all posts

UJIAN SELEPAS KEMENANGAN

Sabda Baginda S.A.W (bermaksud),  
"Tidak ada seorang Nabi yang diutuskan kepada suatu umat sebelumku, kecuali ia memiliki hawariyyun (pengikut-pengikut setia) dan para sahabat yang sentiasa mengikuti sunnahnya dan mentaati apa yang menjadi perintahnya. Kemudian, sesudah mereka akan muncul generasi (orang-orang) yang mengatakan apa-apa yang mereka tidak laksanakan dan mengerjakan apa-apa yang tidak diperintahkan. Maka, barangsiapa yang memerangi mereka dengan tangannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan lisannya, ia adalah Mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan hatinya. Ia adalah seorang Mukmin. Setelah itu, tidak ada lagi iman meskipun hanya sebesar zarah".

Dalam usaha memperjuangan Islam ini, lazimnya kita akan dihadapkan dengan dua golongan manusia, golongan pertama ialah golongan yang bekerja memperjuangkannya, manakala golongan kedua pula adalah golongan yang hanya ingin melihat kemenangan. Golongan bekerja pula ada kriteria-kriteria yang berbeza, belum tentu semuanya bekerja semata-mata ikhlas kerana Allah Taala. Seterusnya yang ikhlas itu pula, belum tentu mereka mampu bertahan bila diuji oleh Allah Taala. Oleh kerana itu, ujian (fitnah), cubaan dan dugaan menjadi tapisan Allah Taala kepada para pejuangnya. Allah menjadikan ujian dalam tarbiyah sebagai proses menapis di antara golongan yang istiqamah, dengan golongan yang tergelincir dalam perjuangan Islam. Kita berdoa, semoga Allah tidak menguji kita perkara yang kita tidak mampu tempuhinya.

Dalam sejarah perjuangan Baginda S.A.W, banyak berlaku peristiwa-peristiwa besar yang menguji iman para Sahabat, ada yang thabat dan ada juga segelintirnya yang kecundang. Antara peristiwa tersebut adalah Isra' dan Mikraj, sebuah peristiwa yang berlaku setelah kewafatan orang-orang yang paling dikasihi Nabi, iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib. Kesedihan yang bertimpa-timpa dialami oleh Nabi menyebabkan Allah memberikan kurniaan kepada Baginda satu peristiwa yang tidak boleh diterima oleh akal manusia, peristiwa yang dinamakan olehNya Isra' wa Mikraj. Peristiwa inilah yang menyebabkan ramai pengikut-pengikut Nabi mula meragui kebenaran yang disampaikan oleh Baginda. Dalam hal ini, Nabi Muhammad S.A.W bukan sekadar diuji untuk meyakinkan orang-orang yang tidak beriman, bahkan juga menghadapi karenah mereka yang mengaku telah beriman kepadanya.

Begitupun di kalangan Para Sahabat, ada karakter yang begitu tekun meyakini apapun yang disampaikan oleh Nabi S.A.W. Beliau adalah Abu Bakar, pemuda yang paling rapat dan paling dikasihi Nabi Muhammad S.A.W. Saidina Abu Bakar tampil membenarkan peristiwa Isra' Mikraj malah menyatakan, "Sesungguhnya aku telah membenarkan Baginda S.A.W terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa". – Al Hakim di dalam Mustadraknya.

Teguhnya pendirian Abu Bakar tidak berbelah bahagi membenarkan semua yang keluar daripada mulut Nabi S.A.W. Abu Bakar mengenali Nabi Muhammad, sebagai insan yang tidak pernah berbohong selama hidupnya. Inilah ujian yang ditempuhi oleh Baginda, dan pada masa yang sama orang-orang yang beriman juga turut diuji untuk dilihat sejauh manakah keyakinan mereka, di antara mereka semakin bertambah imannya dan tidak kurang juga yang berpaling kembali kepada kekufuran.

Iktibar Dari Perang Hunain

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan jua di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu sekali-kali tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri" - At Taubah:25

Pada peristiwa perang Hunain, Allah telah merekodkan pengiktibaran kisah ini di dalam Al Quran. Perang Hunain berlaku pada tahun ke-8 hijrah, iaitu suatu saat bilangan tentera Islam menjadi semakin meningkat kepada 12'000 orang, 10'000 orang dari Madinah dan 2'000 orang yang baru memeluk Islam dari Makkah. Pasukan tentera Islam yang berjumlah 12'000 orang ini berdepan dengan satu kelompok kecil, lalu mereka kagum dengan jumlah mereka yang ramai. Masing-masing merasa yakin untuk capai kemenangan dengan jumlah mereka yang begitu ramai, ditambah pula pengalaman mereka sebelum ini. Sewaktu mereka keluar untuk menghadapi kelompok kecil tersebut, ada di kalangan Sahabat yang mengatakan dengan penuh rasa ta'ajub, "Hari ini kita tidak mungkin akan dikalahkan dengan jumlah yang ramai".

Lalu pada pusingan pertama peperangan, umat Islam kalah apabila menghadapi serangan mengejut tentera-tentera musyrikin yang sedikit jumlahnya sehingga menyebabkan tentera-tentera Islam lari bertempiaran sekalipun dalam keadaan jumlah yang ramai. Keadaan yang berlaku menyebabkan Nabi mengumpulkan semula tentera-tentera Islam sambil berkata, "Sesungguhnya aku adalah RasuluLlah, dan aku tidak berbohong...", seterusnya Nabi meminta mereka bersatu, dengan izin Allah, Dia memberikan kemenangan perang Hunain kepada umat Islam.

Kesilapan yang di lakukan oleh generasi terbaik umat Islam adalah renungan generasi kita hari ini. Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiyah, ujian yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya, maka diberikan kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini agar tidak timbul di kalangan umat Islam nanti mengatakan, "Kemenangan ini kerana bilangan kami yang ramai".

Inilah pengajaran yang ingin dikupas dari Perang Hunain. Allah memberikan ujian kepada umat Islam adalah sebagai satu proses mencapai kemenangan. Dalam gerakan Islam, walaupun di sana ada orang yang menganggap bahawa tarbiyah wajar terabai dengan sebab bebanan kerja-kerja dakwah yang besar, tanggungjawab parti yang semakin banyak, maka ketahuilah bahawa ujian dari Allah itu bukan sahaja berlaku waktu kita kalah. Tetapi ujian yang Allah berikan di waktu kemenangan jauh bezanya dengan ujian yang Allah berikan diwaktu belum mencapai kemenangan.

Selepas kemenangan Hunain, Nabi Muhammad S.A.W mengumpulkan tentera-tentera Islam dan meminta segala harta ghanimah dikumpulkan walau sekecil gigi (gigi yang disalut emas) agar dapat diagih-agihkan secara adil. Lalu mereka menyerahkan segala harta tersebut sehingga menimbun longgokannya. Arahan Rasulullah S.A.W tersebut diulang sebanyak tiga kali oleh Abu Hurairah R.A, namun di sana masih ada seorang tentera Islam yang tidak memberikan harta rampasan itu berbentuk segulung tali unta yang diikat pendek di pinggangnya. Dia mengikat tali unta tersebut sehinggalah sampai di Madinah, lalu setiap kali dia melihat tali unta tersebut, teringatlah dia akan beban dosanya mengingkari arahan Rasulullah S.A.W. Lalu tali unta tersebut diberikan kepada Rasulullah, tetapi Rasulullah menolak pemberiannya, dan Rasulullah-pun menegurnya; mengapa tidak diserahkan walaupun telah diulang arahan tersebut sebanyak tiga kali? Dengan nada kecewa Rasulullah mengarahkan pemuda tersebut supaya memberikannya di akhirat kelak.

Amanah Adalah Titipan Allah Kepada Manusia

Amanah adalah amanah. Amanah adalah barang yang paling berat diamanahkan untuk kita memikulnya. Allah pernah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan juga bukit-bukau tetapi mereka enggan menerimanya. Ketahuilah saudara, jawatan adalah amanah, perjuangan adalah amanah, memenangkan Islam adalah amanah, mempertahankan kemenangan Islam juga amanah, dan mendepani ujian selepas kemenangan suatu ujian amanah yang cukup besar.

Nabi Allah Sulaiman A.S tatkala diuji dengan amanah dengan harta, Nabi Sulaiman lantas mengingatkan dirinya :
"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah" - Surah An Naml:40

Begitulah halnya nikmat yang kita terima, semua itu adalah ujian yang tentunya untuk menguji kita samada termasuk di kalangan mereka yang bersyukur atau kufur kepada Allah Taala. Dan setelah diuji itu pula tujuannya bukan untuk dipuji, tetapi semata-mata mengharap redha Allah Taala yang memberikan kita ujian untuk memastikan siapakah di kalangannya yang paling baik amalannya, yakni ikhlas semata-mata kerana Allah.

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya" - Surah Al Kahfi:7

Allah tidak menilai yang paling banyak amalannya, tetapi yang paling baik amalannya di kalangan mereka. Jika dikira paling banyak amalan, tentulah umat-umat terdahulu yang hidup ribuan tahun menjadi pilihan. Tetapi Allah mengkehendaki daripada kita siapa di kalangan mereka yang ikhlas, yang hatinya tidak palsu mengabdikan kepadaNya. Umat Nabi Allah Syuaib A.S, mereka hidup lebih 3000 tahun, berbeza dengan umur umat Nabi Muhammad S.A.W, sekitar 50-60 tahun. Maka umur kita inilah tempoh-tempoh yang bakal menerima ujian dari Allah untuk meneliti siapakah di antara kita yang paling baik kualiti amalannya. Oleh itu, orang yang berada dalam gerakan Islam, adalah orang yang bukan sekadar banyak amalan tetapi mesti sentiasa upgrade kualiti amalannya.

Inilah juga nasihat Saidina Abu Bakar As Siddiq yang kerap disampaikan kepada tentera-tentera Islam, kepada gabenor-gabenornya, wakil-wakil perjuangan Islam. Beliau tidak pernah lupa mengingatkan 3 perkara :
  1. Nasihat melakukan perkara dengan ikhlas dalam perjuangan.
  2. Bersungguh-sungguh dan sabar dalam perjuangan.
  3. Tingkatkan hubungan dengan Allah Taala.
Apabila Orang Paling Lama Berjuang Tidak Dapat Habuan

Dalam perang Hunain itu juga, dikisahkan 10'000 tentera Islam dari Madinah tidak mendapat sebarang sisa harta ghanimah dalam perang tersebut. Kebanyakan harta tersebut diagihkan seolah-olah Baginda lebih mengutamakan orang Islam di Makkah. Tindakan Baginda S.A.W menyebabkan ramai penduduk Madinah tidak puas hati, tetapi hal itu tidak disampaikan kepada Nabi. Mereka merasakan ketidak-adilan dalam agihan harta rampasan perang tersebut, kerana habis harta-harta tersebut diagihkan kepada penduduk Islam di Makkah yang baru setahun jagung memeluk Islam. Akhirnya menyebabkan orang-orang Madinah merungut di belakang Baginda S.A.W, dan Baginda menyedari rungutan tersebut. Lalu Baginda memanggil ketua di kalangan Ansar, Saad bin Ubadah dan bertanya, "Adakah orang-orang Ansar tidak berpuas hati dengan keputusan agihan ini?".

"Benar wahai Rasulullah, mereka tidak puas hati. Mereka berperang bersama-sama penduduk Makkah, bahkan mereka juga berada di barisan hadapan dalam peperangan ini. Orang-orang Makkah baru masuk Islam, semuanya berlindung di belakang. Segala luka dan cedera, orang Madinah yang menghadapinya dahulu wahai RasulAllah. Kalau mati, orang Madinah yang mati dahulu. Segala ancaman musuh orang Madinah yang menghadapainya dahulu. Tiba-tiba kemenangan ini tidak diagihkan secara bersama, segalanya diberikan kepada orang Makkah. Memanglah hal ini menimbulkan tidak puas hati".

Kemudian Rasulullah S.A.W bertanya, "Kamu pula bagaimana wahai Saad?"

"Tidak ada jalan lain kecuali aku turut bersama mereka juga, mereka itu semua kaumku ya RasulaLlah", jawab Saad bin Ubadah.

Para ulama menafsirkan peristiwa ini bahawa, tidak semua arahan pimpinan difahami oleh pengikut-pengikutnya sendiri. Ada waktunya kita perlu beritahu makna strategi tersebut, tetapi ada juga setiap keputusan itu tidak semuanya perlu diterangkan. Pernah Rasulullah S.A.W memberikan arahan kepada Para Sahabat, "Bersiap untuk perang...", tetapi arahan tersebut tidak dijelaskan secara nyata oleh Baginda S.A.W.
Maka kecelaruan tentera-tentera Madinah mengenai tujuan agihan Baginda terhadap harta rampasan Hunain begitu, menyebabkan Baginda membuat keputusan untuk mengumpulkan mereka semua untuk menerangkan makna sebenarnya.

Baginda berucap di hadapan kaum Ansar, "Demi Allah, jika kamu mahu kamu boleh katakan bahawa kamu wahai Muhammad telah datang kepada kami ketika kamu didustakan kaummu sendiri. Ketika engkau dalam keadaan lemah, kamilah yang menolongmu. Ketika kamu diusir, kamilah yang memberikanmu tempat. Ketika kamu dalam keadaan papa, kamilah yang menampung keperluanmu".

Baginda tidak menafikan bahawa orang-orang Ansar lebih berjasa jika dibandingkan dengan orang-orang Quraish itu yang baharu memeluk Islam. Kemudian Baginda menjelaskan lagi kepada kaum Ansar, "Sesungguhnya aku telah mendengar rungutan-rungutan kamu. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tanganNya, jika bukan kerana hijrah, tentu aku termasuk golongan Ansar. Jika para sahabat menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah yang lain, tentu aku akan memilih celah yang dilalui oleh orang Ansar. Ya Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak Ansar, dan cucu orang-orang Ansar".

"Apakah di dalam hati kamu wahai kaum Ansar masih terdetik hasrat kepada dunia? Sedangkan dunia itu aku pergunakan untuk mengambil hati segolongan orang agar memeluk Islam. Sementara terhadap ke-Islaman kamu, aku tidak lagi meragukannya. Wahai kaum Ansar, apakah di hati kalian tidak gembira jika mereka membawa pulang kambing dan unta, sedangkan kamu pula pulang bersama Rasulullah?"

Setelah mendengar keterangan dari Baginda S.A.W, masing-masing menitiskan air mata hingga janggut mereka basah sambil berkata, "Kami redha dan patuh dengan segala tindakanmu wahai pesuruh Allah".

Inilah di antara tarbiyah selepas kemenangan yang diberi oleh Allah Taala kepada umat Islam.

Ujian Selepas Menang Adalah Ketaatan

Allah pasti menguji kita walaupun keputusan yang kita perolehi itu kemenangan, dan ujian selepas kemenangan dicapai adalah ketaatan. Dalam gerakan Islam, wala' adalah kewajiban. Sebahagian orang memperlekehkan perihal wala' ini. Ada juga yang tidak tahu membezakan wala' dan tahaluf. Kita bertahaluf siasi bersama rakan-rakan dalam pakatan rakyat. Dalam hubungan ini kita saling hormat-menghormati menurut persepakatan yang sama-sama kita persetujui. Tetapi dalam disiplin berjemaah, kita ada wala' dengan kepimpinan yang mesti dipelihara melebihi kesepakatan dengan pihak lain. Persoalan wala' inilah yang sering akan diuji oleh Allah Taala kepada gerakan Islam.

Dalam sebuah hadis yang cukup mahsyur, Para Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, "Wahai Baginda, siapakah orang yang paling berat bala ujian Allah?". Jawab Baginda S.A.W, "Para Nabi adalah orang yang paling berat ujiannya, lalu orang yang terbaik setelah mereka dan seterusnya (yang menurut langkah perjuangan mereka)".

Maka yang paling berat ujiannya selepas Nabi dan Rasul ialah Para Khulafa', yakni para pengganti yang akan meneruskan perjuangan Islam dan memastikan kedaulatannya. Oleh itu, dalam konteks perjuangan ini sangat mustahak untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan 'jemaah' kerana tiada lagi wahyu yang akan diturunkan selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Dalam perjuangan Islam tiada istilah bertindak tanpa arahan, mengutamakan maslahah peribadi dan melanggar persepakatan syura. Apabila kepimpinan buat satu keputusan, dibincang dan diperbahaskan, diterima dan ditolak, ada yang tidak puas hati kerana tidak faham apakah matlamat, pendekatan, strategi dan seumpamanya. Maka dalam soal ini, PAS sangat bergantung dengan kekuatan tarbiyah dan wala' dalam mengharungi jatuh dan bangun perjuangan ini.

Oleh sebab itu, apabila kita diuji dengan amanah kepimpinan, kita khuatir apabila kita mengabaikan lapangan tarbiyah. Ini kerana, dalam kepimpinan Allah akan uji kita dengan kebendaan. Saidina Ali berkata, "Wahai dunia, jika engkau mahu menipu maka engkau tipulah orang lain, jangan aku yang engkau tipu". Tetapi Allah menetapkan dunia ini warisan untuk hambaNya yang soleh bukan orang fasiq. Orang yang soleh tidak meminta dunia, tetapi mengurus dunia untuk menegakkan Islam dan membantu kemenangan Islam, memperkukuhkan hubungan sesama umat mentauhidkan Allah Taala. Begitupun melaksanakan amanah ini bukan mudah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya oleh seorang wartawan dari Brunei, "Apakah ujian yang paling besar ketika mentadbir negeri Kelatan?". Jawab Tuan Guru, "Ujian yang paling berat bukanlah serangan dan ancaman dari UMNO, tetapi yang paling besar ialah ujian dunia itu sendiri, dunia yang menguji".

Perjuangan menegakkan Islam mementingkan hubungan (muraqabah) kita dengan Allah kerana cabaran-cabaran bentuk ini adalah berterusan. Dalam satu hadis dhaif berbunyi, "Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar", jihad besar itu ialah jihad menentang hawa nafsu, inilah jihad yang berterusan.

Moshe Dayan merupakan menteri pertahanan Israel Ke-4 yang matanya sebelah kirinya ditutup, dan pernah timbul cakap-cakap orang yang mengatakan bahawa inilah dajjal yang keluar di akhir zaman. Diceritakan Moshe Dayan pernah mengikuti sebuah persidangan rahsia Zionist Antarabangsa bagi memerangi umat Islam dan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin. Maklumat ini amat sulit, tetapi Moshe dayan berani mendedahkannya di khalayak umum sehingga mengejutkan pegawai-pegawainya.

Perbuatan Moshe Dayan ini ditegur, "Mengapa Tuan dedahkan rahsia kita? Nanti umat Islam tahu, mereka akan susun strategi untuk mengalahkan kita!"

Lalu Moshe Dayan berkata, "Kamu jangan risau perihal umat Islam, umat Islam adalah umat yang malas membaca. Jika mereka membaca-pun mereka orang yang tidak faham apa yang mereka baca. Dan kalau mereka faham-pun, mereka tidak akan buat apa yang mereka baca. Kalau mereka buat-pun, mereka tidak sungguh-sungguh dalam melaksanakannya. Kalau mereka bersungguh-sungguhpun apa yang dilakukan itu hanyalah mengharapkan keredhaan manusia (tidak ikhlas)".

Moshe Dayan tidak risau dengan realiti sikap yang menimpa umat Islam, mereka umat yang malas membaca. Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), purata orang Melayu membaca dua muka surat setahun. Sebab itu, Dewan Pemuda PAS buat skrip yang bergerak dalam video "Gua Ikut Enta". Namun, fenomena umat Islam yang juga diketahui oleh musuh-musuh Islam bahawa umat Islam juga tidak bersungguh bila melaksanakan sesuatu perkara. Sedangkan Nabi Muhammad menyuruh kita melaksanakan sesuatu perkara dengan 'itqan' - penuh ketekunan. Dan masalah lain, jika mereka bersungguhpun belum tentu keredhaan Allah yang menjadi taruhan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS

UMAR MUKHTAR : PEJUANG KEMERDEKAAN LIBYA

Umar Mukhtar adalah ‘Hero’ umat Islam, yang sememangnya pernah wujud. Bukan lagenda, bukan khayalan seperti filem Rambo. Bukan cerita The Last Samurai. Tetapi Umar Mukhtar sememangnya hero yang benar-benar wujud suatu ketika dahulu, menjadi pejuang Islam ketika itu. Hal ini dapat kita telusuri apabila kita melangkah sejenak ke tahun 1892, kita menyingkap sejarah tentang kelahiran seorang bayi serba dhaif di sebuah kampung pada zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 16 tahun, anak muda ini diletakkan di bawah asuhan dan perhatian seorang syeikh (guru).

Berkat didikan syeikh tersebut, lama kelamaan beliau mula mengamalkan cara hidup Islamiyyah di mana beliau hanya tidur selama 3 jam setiap malam agar mudah bagi beliau untuk bangun solat pada sepertiga malam.

Tidak cukup sekadar itu, beliau juga gemar membaca ayat-ayat suci Al Quran hingga fajar menyinsing. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidupnya, beliau berjaya menghafaz Al Quran, dan mengulanginya dengan lengkap setiap tujuh hari. Keberanian dan kebijaksaan beliau memang dikenali di setiap pelusuk daerah. Malah, beliau menjadi ikutan dan contoh kepada orang ramai pada ketika itu. Bukti keistimewaan beliau terserlah pada ketika beliau berkafilah (berdagang) ke Sudan semasa beliau masih muda. Ditakdirkan Tuhan, seekor singa telah menghalang kumpulan kafilah-kafilah ini daripada memasuki satu laluan sehingga mereka terpaksa mengubah hala mereka kerana takut akan si singa tadi. Untuk menyelamatkan diri, ada yang terpaksa mengorbankan unta mereka sebagai percubaan terakhir untuk melepaskan diri, walaupun unta pada ketika itu merupakan salah satu harta yang berharga buat mereka.

Beliau yang mengetahui tentang ancaman singa berkenaan, lantas tampil untuk cuba meleraikan kekecohan. Tidak seperti kafilah-kafilah lain yang buntu mencari jalan penyelesaian, beliau tangkas menunggang kudanya bersama senapang beliau dan memburu singa tersebut. Sejurus kemudian, beliau mengejutkan kumpulan-kumpulan kafilah tadi apabila pulang dengan membawa kepala singa berkenaan. Mereka sangat bersyukur akan pengorbanan yang dilakukan beliau dan sejak dari itu lah beliau digelar ”Singa Cyrenaica”.

Dibesarkan dengan ajaran agama dan diserapkan dengan nilai-nilai keberanian seorang pahlawan, telah memberi impak yang hebat buat beliau. Akhlak dan karisma yang dimiliki bukan hanya memberi kesan pada kaum, negara dan bangsanya, malah kepada umat Islam sedunia selepas zaman penjajahan.

Apabila umur beliau menjangkau lingkungan 20-an, beliau semakin dikenali berikutan kematangan dan kehandalan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan suku bangsa beliau pada ketika itu. Pandangan serta nasihat beliau didengari oleh setiap penduduk kampung tidak kira di mana beliau berada. Kesopanan dan tata tertib yang dipamerkan dalam sikapnya yang disenangi ramai, memang cukup disegani. Kepetahan beliau tatkala berbicara, susunan ayat yang teratur, membuatkan orang ramai tertarik untuk mendengar ucapan mahupun ceramah yang disampaikan beliau. Keunikan inilah yang menjadi aset untuk beliau menyatukan puak-puak pada ketika itu di samping memudahkan usaha beliau untuk mengumpul kumpulan perang bagi melawan penjajah-penjajah yang datang untuk mengambil alih pemerintahan pada ketika itu.

Pada usia beliau 30-an, bermulalah zaman penjajahan yang mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Fenomena ini telah membayangi kehidupan beliau untul tampil bertindak. Pada ketika dunia dirosakkan oleh anasir-anasir Eropah, beliau bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dengan semangat kentalnya. Beliau bersama-sama dengan satu kumpulan bernama Banu Sanus, yang selepas itu dikenali dgn nama Sanusi, menentang penjajahan Perancis tanpa rasa takut walau sedikit pun. Mereka juga pernah menentang penjajah-penjajah Inggeris yang diselubungi rasa tamak dan haloba untuk menakluki tanah air mereka.

Apabila Itali bersekongkol dengan negara-negara Eropah yang lain dalam membuat kacau-bilau di hemisfera Selatan dengan menjajah Afrika Utara, beliau yang ketika itu sudah pun menjangkau usia 50-an, mula mengumpulkan pejuang-pejuang bagi menentang penjajahan di tanah air mereka, Libya. Itali yang mula resah akan tindakan berani beliau dan pengikut-pengikutnya, mula mengatur strategi dengan cuba untuk merasuah beliau agar menyerah diri, dan menerima tawaran mereka untuk mentadbir dengan jawatan tinggi dalam kerajaan, selain menjanjikan harta kekayaan buat beliau.

Taktik kotor mereka ditolak mentah-mentah. Kata-kata beliau terhadap mereka ketika itu yang amat terkenal berbunyi, "Saya bukannya orang yang mudah dipengaruhi. Betapa kuat cabaran dan desakan mereka untuk mengubah pendapat dan kepercayaan saya, Allah tidak akan mengizinkannya".

Gagal dengan strategi pertama, Itali mula menggunakan taktir kotor kedua mereka dengan menggesa beliau supaya meninggalkan bandar kediamannya, dan berpindah ke bandar yang lain berhampiran dengan pusat pemerintahan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga cuba menawan hati beliau dengan menawarkan gaji bulanan yang tinggi supaya beliau akur dengan kehendak mereka. Walaubagaimanapun, sekali lagi usaha mereka gagal apabila beliau menolak dengan berkata, "Tidak! Aku sesekali tidak akan meninggalkan tanah airku sehinggalah tiba waktunya aku bertemu Tuhanku. Ajal adalah perkara yang paling hampir denganku berbanding yang lain. Aku menunggunya setiap waktu".

Keazaman dan kesungguhan beliau untuk menentang penjajahan walaupun pada usia 70-an telah berjaya membakar semangat bangsa dan kaum beliau untuk terus berjuang walaupun menderita. Beliau berikan mereka harapan dan keyakinan bagi menentang bala tentera penjajah yang jauh lebih ramai daripada pejuang-pejuang mereka sendiri. Di kala pihak penjajah dilengkapi alat-alat kelengkapan perang serba moden dan canggih, pejuang-pejuang ini tabah menahan lapar dan dahaga berbekalkan hanya senjata dan kuda-kuda mereka. Selepas kedudukannya kukuh, golongan Ummah mula mengelilinginya. Beliau berjaya menyerang bangsa Itali pada tempat kelemahan mereka. Beliau menyerang balas dengan tegas dan pantas terhadap golongan penjajah yang menyangka menguasai tanah orang Islam dan menindas mereka merupakan suatu kerja yang mudah.

Muhammad Az Zaway, seorang pahlawan yang dulunya pernah bersama beliau memerangi tentera Perancis, cuba memujuk beliau untuk berundur ke Mesir dengan pejuang-pejuang yang lain. Tetapi beliau enggan untuk menyerah kalah walaupun mengetahui bahawa peluang beliau semakin tipis untuk mengalahkan musuh yang boleh menghapuskan beliau dalam sekelip mata dek kerana bilangan mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Bila ditanya, mengapa beliau masih setia berjuang, beliau menyatakan yang beliau berjuang kerana agama dan beliau tidak sanggup untuk melihat pihak musuh menduduki tanah airnya. Beliau akan terus menentang dan menentang kezaliman, tidak kira sama ada menang atau kalah. Yang pasti, kejayaan datang hanya dari Allah Taala. Beliau juga menolak untuk mengadakan perundingan damai dengan pihak penjajah dengan menyatakan bahawa 'mereka tidak mempunyai apa-apa melainkan untuk melawan musuh-musuh Allah'.

Selepas mengharungi beberapa peperangan yang tidak terkira banyaknya, akhirnya beliau tewas juga di tangan musuh. Di akhir peperangan tersebut, tinggal hanya beliau serta salah seorang pengikut setianya yang masih teguh berdiri di medan perang. Pejuang yang dihormati ini percaya bahawa jihad adalah disyariatkan pada setiap umat Islam sekiranya tanah air mereka dikuasai penjajah. Dengan semangat yang berkobar di dalam jiwanya, di samping keberanian dan sifat kesungguhan yang tinggi, menyebabkan beliau dihormati dan disegani oleh sesiapa saja termasuklah musuh-musuh beliau sendiri.

Pegawai tentera yang menyoal siasat beliau berkata, "Apabila beliau tiba sampai ke pejabat saya, beliau kelihatan seperti seorang daripada beribu murabitin yang saya lihat di medan perang padang pasir. Tangan beliau dirantai. Tulangnya patah akibat perang tetapi beliau memaksa dirinya berjalan dalam keadaan derita kesakitan. Beliau tidak seperti tawanan lain yang biasa ditangkap sebelum ini. Beliau berdiri di dalam pejabat saya dan menjawab segala soalan yang kami kemukakan dengan suara yang tenang dan jelas. Apabila beliau mahu mula beredar, tampak mukanya yang kelihatan bercahaya membuat saya terpegun dan terkejut. Terketar bicara saya di akhir perbualan kami semasa saya mengarah beliau kembali ke sel penjaranya sebelum upacara pengadilan di mahkamah pada sebelah petangnya".

Golongan yang menyerah kalah dan para ilmuan yang telah berpihak kepada kerajaan Itali tidak dibunuh ataupun dipenjarakan. Mereka mati dalam keadaan biasa dan mugkin di dalam keadaan mewah dan selesa, di bawah perlindungan golongan penjajah Itali. Namun demikian, kematian mereka tidak membawa sebarang erti. Dan, Neraka Jahanam adalah tempat bagi mereka yang bersekongkol dengan golongan penjajah yang kafir. Umar Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.

Umar Al Mukhtar terikat kepada Allah Taala, bergantung hidup padaNya, dan sentiasa menerima takdir Ilahi. Beliau telah meminta daripada Allah Taala untuk mati syahid, dan itulah yang telah beliau capai, InsyaAllah.


sumber: Tarbawi.My

Taat Dan Wala' Dalam Perspektif Harakah Islamiyah

Persoalan taat dan wala' sering kali diperbahaskan oleh para pendokong harakah Islamiah. Namun, seiring itu juga kita dapat memerhatikan gerak kerja dan sikap para anggota harakah bersalahan dengan kefahaman taat dan wala'. Tulisan ringkas ini bertujuan menjelaskan pengertian taat dan wala' kepada setiap individu yang bergabung dengan gerakan Islam dalam negara ini. Ketaatan kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri adalah suatu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran.

Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil-Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. [ Surah An Nisa’:59 ]

Taat kepada Allah dan Rasul

Imam Ibnu Jarir At Tabari R.H dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah pada segala perintah dan larangan-Nya. Taatilah kamu kepada Rasulullah kerana ketaatan kamu kepada Rasul merupakan ketaatan kepada Allah. Kerana ketaatan kamu kepada Rasul itu adalah perintah dari-Nya”.

Kata Imam At Tabari lagi dalam meriwayatkan pendapat para ulama mufassirin yang lain,”Ayat ini adalah perintah Allah supaya mentaati Rasulullah S.A.W sewaktu baginda hidup pada segala suruhan dan larangannya serta mengikut sunnahnya setelah kewafatannya”.

Taat kepada Ulil Amri

Para ulama mufassirin berbeza berkenaan maksud Ulil Amri di antaranya :
1. Para pemimpin.
2. Para ulama, fuqaha’ dan agamawan.
3. Para Sahabat Nabi Muhammad S.A.W.
4. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Pendapat yang rajih (kuat) di sisi Imam At Tabari maksud Ulil Amri berdasarkan hadis-hadis yang sahih daripada Nabi S.A.W, Rasulullah memerintah agar taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu taat kepada Allah dan menjaga kemaslahatan umat Islam.

Dalam menjelaskan perkara ini al-Hafiz al-Imam Ibnu Katsir meriwayatkan dalam tafsirnya sebuah peristiwa yang berlaku ketika mana Nabi S.A.W menghantar sekumpulan tentera yang diketuai seorang lelaki dan memerintahkan para sahabat supaya taat kepadanya. Sampai di suatu kawasan, lelaki tersebut mengarahkan agar dikumpulkan kayu api dan dinyalakan. Lalu dia memerintahkan semua tentera agar terjun ke dalam api tersebut.

Kemudian ada seorang tentera membantah lalu diadukan hal itu kepada Rasulullah S.A.W apabila mereka kembali kepada Baginda. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda :

"Sekiranya kamu memasuki api itu, kamu tidak akan keluar darinya selama-lamanya. Hanya sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang makruf (baik)".

Dalam hadis yang lain, Abdullah Ibn Umar berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

"(Kewajipan) mendengar dan mentaati seseorang pemimpin Islam itu adalah pada perkara yang disenangi atau tidak senangi, selagi mana tidak disuruh melakukan maksiat. Jika disuruh melakukan maksiat, maka tiada lagi (kewajipan) mendengar dan mentaati".

Rasulullah menuntut Para Sahabat dari kalangan Ansar agar berjanji untuk memberi ketaatan dalam peristiwa Bai’at Al Aqabah Kedua sebelum Baginda S.A.W bersetuju untuk melakukan hijrah ke Madinah. Di dalam perjanjian itu Rasulullah bersabda :

“Berbai'ahlah kepadaku supaya memberi ketaatan ketika rajin dan malas, sanggup berinfak (harta) di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan orang, sanggup menolong aku apabila aku tiba ke tempat kamu (Madinah) dan sanggup mempertahankan nyawa aku sebagaimana kamu mempertahankan nyawa kamu, isteri-isteri kamu, anak-anak kamu dan bagi kamu syurga”.

Jelaslah berdasarkan nas-nas Al Quran dan Hadis bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah bersifat wajib dan mutlak. Manakala ketaatan kepada Ulil Amri (para pemimpin) tidak bersifat mutlak. Ia bergantung kepada sejauh mana pemimpin Muslim taat kepada Allah dan Rasulullah. Ketaatan itu hanya pada perkara yang makruf dan bukan dalam perkara maksiat.

Pengertian Wala’

Menurut Muhammad Said Al Qahtani dalam kitabnya Al Wala' wal-Barra' fil Islam, pengertian wala' dari segi istilah syarak ialah :

“Memberi pertolongan, kecintaan, kemuliaan dan penghormatan. Ini dilakukan kepada mereka yang diberikan wala' itu secara zahir dan batin”.

Di dalam Al Quran, Allah menjelaskan wala' itu hanya diberikan kepada Allah, RasulNYA dan orang-orang yang beriman. Hanya kepada mereka diberikan pertolongan dan kasih sayang berdasarkan aqidah dan keimanan. Firman Allah Taala :

“Hanya sesungguhnya wali (pelindung dan penolong) kamu ialah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa tunduk dan patuh (kepada Allah)..” [ Surah Al Maidah:55 ]

Imam At Tabari menafsirkan ayat ini dengan katanya,”Tiadalah bagi kamu sebarang wali (pelindung) dan penolong melainkan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang disebutkan dalam ayat ini sifat-sifat mereka”.

Mereka mestilah orang-orang yan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Iaitu menunaikan hak Allah dan hak sesama manusia serta tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ketaatan Yang Dituntut Dalam Harakah Islamiah

Dalam gerakan Islam, ketaatan itu mestilah diberikan oleh para anggota harakah kepada pemimpin. Ketaatan itu lahir daripada sikap saling mempercayai di antara pemimpin dan para pengikut. Para pengikut pula mentaati pemimpin atas dasar ketaatan pemimpin itu kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjuang menegakkan agama Allah.

Ini hanya berlaku apabila pemimpin berkenaan mempunyai keikhlasan dan menunjukkan contoh pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan yang didokong secara jama'ie oleh semua anggota harakah Islamiah.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, ketika rajin dan malas, di waktu senang dan susah, di masa lapang dan sibuk dan dilaksanakan dalam perkara yang tidak maksiat. Justeru itu, kegagalan anggota gerakan Islam mengikut arahan kepimpinan dari masa ke semasa akan mencacatkan perjalanan gerak kerja jamaah dan menyebabkan berlaku kepincangan dalam parti.

Pengajaran daripada peperangan Uhud sudah cukup memberi iktibar kepada kita tentang sekumpulan tentera pemanah yang melanggar arahan Nabi S.A.W apabila mereka meninggalkan bukit untuk mengaut harta ghanimah. Akhirnya tentera Islam mengalami kekalahan.

Dalam konteks Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang menyebut berkenaan ketaatan dan wala' yang dituntut dalam gerakan Islam di negara ini :

A) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

B) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

C) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan
Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada Rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadis yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah
Menurut rukun dan hukum, adalah haram seseorang ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin
Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian, wala’ kepada pemimpin dalam pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Adakah kita benar-benar memberi wala' kepada pemimpin Harakah Islamiah (PAS)?

Jika kita memerhatikan sikap dan ragam mereka yang mengaku bergabung dengan Harakah Islamiah (PAS) akhir-akhir ini, ternyata mereka tidak mempunyai ketaatan dan tidak bersikap wala’ kepada pimpinan jamaah.

Seperti mana yang telah kita ketahui bahawa wala’ itu ialah memberi pertolongan, perasaan kasih sayang, kemuliaan dan penghormatan. Ini dilakukan kepada pimpinan yang diberikan wala’ itu secara zahir dan batin.

Wajib anggota harakah menunjukkan sikap wala' iaitu menghormati, mengasihi, mentaati dan membantu pimpinan sama ada secara peribadi yang zahir mahu pun naluri yang tercetus dalam hati. Menunjukkan sifat bermuka-muka secara berhadapan dan menyembunyikan sifat hasad dan kebencian dalam hati hanyalah menyerupai perangai yang dilakukan oleh orang-orang munafik kepada Rasulullah S.A.W.

Sikap memburuk-burukkan pimpinan yang dilakukan oleh sesetengah individu secara terang-terangan, melalui laman web, laman sosial dan sebagainya atas nama kebebasan bersuara tidak mencerminkan sifat mereka yang berakhlak dan memahami dengan sebenar-benarnya konsep taat dan wala' dalam perspektif Harakah Islamiah.

Sesungguhnya kemenangan itu hanya akan datang apabila kesemua ini dapat direalisasikan bersama oleh para pejuang Islam dalam akhlak berjamaah. Perhatikan firman Allah Taala ini :

“Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti mendapat kemenangan. Iaitu: orang-orang yang menjadikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya". [ Surah Al Maidah:56 ]

Oleh: Imran al-Malizi

Written by Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat Category: Tinta Jundi

Published on 20 June 2011

Kehilangan Sebutir Lagi Mutiara Berharga

Bismillahirrahmanirrahim.

Pemergian Dr Lo' Lo' pada 15 Sya'ban baru ini sungguh menyedihkan semua pihak. Daripada pimpinan, ulama', aktivis hinggalah penyokong Pas turut terkesan dengan berita pemergian beliau. Sebutir lagi mutiara berharga dalam PAS telah pergi menghadap sang Pencipta. Allahu Allah. Pemergian Allahyarham Ust Hassan Syukri masih terasa terlalu baru. Sehebat mana pun mereka, seberkilau mana pun mereka, mereka hanyalah pinjaman sementara dr Allah utk perjuangan ini. Moga2 pemergian Dr Lo' Lo' menjadi muhasabah dan suntikan motivasi utk semua pelapis perjuangan Islam ini terutama pejuang muslimat, insyaALLAH. mari mengenang jasa-jasa beliau daripada mereka yg lebih rapat dengan beliau..

Dr Lo' Lo': Mutiara Yang Tidak Akan Hilang Sinarnya

Mohd Sayuti Omar
Dr LO' LO' binti Mohd Ghazali adalah satu nama besar dalam Pas. Meskipun kedudukannya dalam parti Islam itu khususnya dalam Dewan Muslimat bukan ditempat teratas, tetapi dewan itu seakan sinonim dengan namanya, Dr Lo' Lo'. Nama ini mula disebut dalam Pas sekitar tahun 90-an dan mulai mewangi pada awal akhir tahun 90-an. Kelopak perjuangannya mula berkembang dan disedari tatkala meletusnya era reformasi.

Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah-tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas.

Kelihatan manja tetapi tegas. Ia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain.

Sepanjang hayatnya beliau mendominasi dalam bidang kebajikan terutamanya dalam aspek kesihatan sesuai dengan kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan. Jika tidak silap saya Dr Lo' Lo' juga pernah ikut sama memberi bantuan kemanusiaan, rawatan dan perubatan dalam tragedi gempa bumi di Yogjakarta tahun 2006.

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) beliau diberikan tanggungjawab oleh Pas bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya. Malahan kekalahan kali pertama itu menjadi perangsang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi berpilihan raya.

Siapa percaya pada tahun 2008, beliau seorang wanita yang lemah lembut boleh menang di sebuah kerusi bandaraya yang mempunyai berbagai lapisan masyarakat. Dr Lo' Lo' mengalahkan calon BN, Jamaluddin Aziz di kerusi Titiwangsa dengan majoriti 1,972. Kemenangan itu meletakkan namanya sebagai ahli Parlimen wanita pertama daripada Pas yang menang untuk mana-mana kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Satu sejarah.

Nama yang sememangnya sudah bercahaya kerana Lo' Lo' itu sendiri bermaksud mutiara atau permata cepat mengharumkan Dr Lo' Lo'. Kerajinannya mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen menjadikan beliau popular dan disanjungi kawan dan lawan kerana komitmennya kepada tanggungjawab dan amanah. Isu-isu yang diambil bahagian ialah mengenai hak wanita dan juga isu-isu mengenai kepentingan Islam dan kebajikan insan.

Sebagai wakil rakyat wanita beliau tidak terelak terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang dilakukan lelaki. Lo' Lo' tidak dikecualikan atas persoalan gender. Kawasan Titiwangsa adalah pernah dimiliki oleh Sulaiman Mohamad, seorang politician Melayu yang dikenali sebagai samseng kampung dusun. Walaupun Sulaiman tidak lagi menjadi penghulu di situ namun Dr Lo' Lo' tetap menghadapi cabaran dan sindiran yang diwarisi dari Sulaiman yang diteruskan oleh penguasa Umno seterusnya.

Sekali lagi serangan dan kritikan terhadapnya selaku wakil rakyat oleh Umno tidak menjadi kudis gatal. Kemunculan Menteri Wilayah Baru Raja Nong Chik yang beriya untuk merampas Kampung Baru yang perlahan-lahan telah bertukar menjadi kubu untuk Pakatan Rakyat dan cuba merombak sokongan kepada Dr Lo' Lo' merupakan cabaran terhebat buatnya. Dr Lo' Lo' pernah dipersendakan oleh Raja Nong Chik kerana beliau seorang perempuan. Kalau tidak silap Dr Lo' Lo' pernah meminta Nong Chik meminta maaf kepadanya atas satu perbuatan Nong Chik yang kurang tamadun.

Keberaniannnya juga terserlah. Beliau mencabar untuk bersekemuka dengan sesiapa saja demi kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Dalam berdepan dengan isu rampasan Kampung Baru beliau ke hadapan. Perjuanganya menjaga hak warisan orang Melayu Kampung Baru diperjuangkan sampai ke denyut-denyut nafas terakhir. Dalam keadaan beliau sudah sakit di mana seharus rakyat dilupakan namun beliau masih membela dan mempertahankan hak rakyat Kampung Baru. Beliau tidak rela Umno menzalimi penduduk Kampung Baru.

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) pada sidang Parlimen Mac lalu sesuatu yang menggembirakan beliau. Penangguhan itu sedikit sebanyak adalah kerana kelancangan beliau menentang agenda berstrategi Umno itu. Dr Lo' Lo' tidak habis-habis memberi peringatan agar agenda untuk membangunkan Kampung Baru biarlah dilakukan secara adil dan hak orang Melayu di situ terbela selamanya.

Ternyata iltizam beliau kepada tanggungjawab dan amanah parti itu tidak pernah diabaikan. Walaupun beliau tidak dapat menyuarakan kepada Parlimen kerana dihalang kanser namun beliau tidak berputus asa. Jalan lain dicari bagi menyampaikan isi hatinya. Rakan-rakan seperjuangnya senantiasa membantu dan mewakili beliau bagi menyampai apakah yang tersekang di dadanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub pernah diwakilkan untuk menyampaikan ucapannya di Parlimen.

Meneliti dan mengimbau sejarah perjuangan dan keulitan serikandi ini, benarlah apa yang diungkapkan oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya; Dr Lo' Lo' adalah seorang mujahidah yang istiqamah di dalam perjuangan.

Mengapa tidak seperti dikatakan tadi beliau tidak mudah berputus asa dan berwalang durjana demi memastikan perjuangan partinya tegak di atas muka bumi ini. Selain itu beliau juga seorang yang rajin, ada masanya melebihi pejuang lelaki sendiri.

Saya ada secebis pengalaman dalam hal ini, melihat sendiri bagaimana rajin dan seriusnya beliau dalam perjuangan pada berkempen pilihan raya kecil bagi memastikan calon Pakatan Rakyat. Semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh yang melibatkan pertandingan Anwar Ibrahim, Dr Lo' Lo' adalah seorang tenaga kempen utama. Bagi memastikan kemenangan Anwar beliau telah turun naik ke pejabat-pejabat kerajaan untuk memberi risalah dan mendekati pengundi.

Beliau ada menceritakan bagaimana beliau dihalau keluar dari pejabat tetapi tidak diendahkannya. Hak demokrasi dan kebebasan bersuara dipergunakan seterusnya. Beliau memberi tahu ada kalanya beliau terpaksa bertengkar dengan kakitangan pejabat sebelum dapat meninggalkan risalah. Selamba saja beliau memberi tahu apa yang berlaku ke atasnya.

Pada pilihan raya kecil itu beliau juga turut sama mendekati para peniaga di sebuah pasar. Beliau melalui dari lorong ke lorong menemui segenap penjual di dalam pasar berkenaan. Sambil bertanya khabar beliau menghulurkan risalah kepada para peniaga. Cara diplomasi yang tinggi dan lemah lembut menyebabkan para peniaga senang menerima kunjungannya. Ini terbukti bila mana ada peniaga yang membelanjakan beliau dan rombongan untuk minum.

Demikian juga pada siri-siri kempen pilihan raya kecil lain atau acara refomasi. Wajah dan kelibat beliau akan senatiasa sahaja ternampak. Mengingati akan kerajinan beliau dalam membantu rakan dan memastikan kemenangan, teringatlah saya kepada seorang lagi ahli Parlimen yang seingat saya tidak pernah miss menjadi host kempen pada pilihan raya kecil. Orang yang saya maksudkan itu adalah Dr Mohd Hatta Ramli. Kalau dalam lelaki Pas ada Hatta yang rajin, komited maka dalam muslimat Pas ada Dr Lo' Lo' yang ulit dan tidak mengenang letih dan istiqamah.

Semalam jam 10:15 minit 15 Syaaban 1432 bersamaan 17 Julai 2011 dalam usia 54 tahun permata Pas yang bergemilang memancar sinar itu sudah pun tiada lagi. Dia sudah dipanggil pulang ke pangkuan penciptaannya untuk selamanya. Pas dan kita semua hanya diberikan pinjam sekejap saja permata penuh berazimat itu. Demikian takdir Allah, kita kena pasrah.

Namun sinar yang pernah hadir dan memberi cahaya kepada kita tetap akan terlekat kejap di sanubari. Kewujudannya ia bersama kita sebagai menandakan bahawa kita pernah bersama dalam mengibarkan panji-panji kebenaran ini dan selorong menuju ke mardtillah, insyaAllah.

Kalau kita semua benar sayang dan mengkagumi ratu jihad ini, ayuh.. terus kibarkan panji-panji ini yang ditinggalkan kerana ia akan meneduhkan rajuna itu di ambang Syurga. Penerusan perjuangan adalah doa kudus untuk Allahyarham. Al Fatihah

Ingin Lagi?? mari ziarah laman2 ini..




Amanat Sheikh Ahmad Yassin

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)”. (Al-Ahzab:23)


Syeikh Ahmad Yasin yang begitu kecewa dan sedih dengan sikap bangsa arab telah berkata :

"Tidakkah kamu semua lihat wahai bangsa arab,
Sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?
Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah,
tidak mampu memegang pena
dan menyandang senjata
Dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh).
Aku bukan seorang penceramah yang lantang
Yang mampu menggegarkan semua tempat
Dengan suaraku (yang perlahan ini).

Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat
bagi memenuhi hajatku
kecuali jika mereka meggerakkan (kerusi roda) ku.
Aku yang sudah beruban putih
dan berada di penghujung usia,
aku yang diserang pelbagai panyakit
dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

Adakah segala macam penyakit
dan kecacatan yang menimpa diriku
turut menimpa bangsa arab?
sehingga menjadikan mereka begitu lemah.
Adakah kalian semua begitu wahai bangsa arab?
kalian diam membisu dan lemah,
atau adakah kalian semua telah mati binasa?

Adakah hati kalian tidak bergelora
melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami?
sehingga tiada satu golongan pun
yang bangkit menyatakan kemarahan
kerana Allah…

Tiada satu pun kumpulan
(daripada kalangan kalian)
yang bangkit menentang musuh-musuh Allah
yang telah mengisytiharkan
perang antarabangsa keatas kami
dan menukarkan kami dari golongan mulia
kepada golongan yangn dianiaya dan dizalimi
oleh pembunuh dan penjenayah serta pengganas…

Tidak adakah yang mahu bangkit
menentang musuh-musuh
yang telah berjanji setia untuk
menghancurkan dan menghukum kami.

Tidak malukah umat ini
terhadap dirinya yang dihina
sedangkan padanya ada kemulian.
Tidak malukah Negara-negara umat Islam
membiarkan penjenayah zionis
dan sekutu antarabangsanya
tanpa memandang kami dengan pandangan
yang mampu mengesat air mata kami
dan meringkan bebanan kami.
Adakah pertubuhan-pertubuhan umat ini,
pasukan tenteranya, parti-partinya,
badan-badannya dan tokok-tokohnya
tidak mahu marah kerana Allah
dengan kemarahan sebenarnya
lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan:

“Ya Allah,
perkuatkanlah saudara-saudara kami
yang sedang dipatah-patahkan
tulang-temulang mereka,
kasihanilah saudara-saudara kami
yang lemah ditindas
dan bantulah hamba-hambamu yang beriman!”
Adakah kalian tidak memiliki
kekuatan berdoa untuk kami?

Seketika nanti
kalian akan mendengar
tentang peperangan besar keatas kami
dan ketika itu
kami akan terus berdiri
dengan tertulis di dahi kami
bahawa kami akan mati berdiri
dan berdepan dengan musuh,
bukan mati dengan keadaan melarikan diri.
Akan mati bersama-sama kami anak-anak kami,
wanita-wanita, orang-orang tua
dan pemuda-pemuda.
Kami jadikan di kalangan mereka
sebagai kayu bakaran
buat umat yang diam dalam kebodohan!

Janganlah kalian menanti
hingga kami menyerah
atau mengangkat bendera putih,
kerana ketahuilah bahawa kami tetap akan mati
walaupun kami berbuat demikian (menyerah).
biarkan kami mati dalam kemuliaan
sebagai mujahidin dan syuhada`.

Jika kalian mahu,
marilah bersama-sama kami sedaya mungkin.
Tugas membela kami terpikul dibahu kalian.
kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami
dan menghulurkan simpati.
Sesungguhnya Allah akan menghukum
sesiapa sahaja
yang lalai daripada menunaikan
kewajipan yang diamanahkan.

Kami juga berharap kepada kalian
supaya jangan menjadi musuh
yang menambah penderitaan kami.
Demi allah, jangan menjadi musuh kepada kami
wahai pemimpin-pemimpin umat ini,
wahai bangsa umat ini.

Ya Allah kami mengadu kepadaMu …
kami mengadu kepadaMu…
kami mengadu kepadaMu…
kami mengadu kepadaMu
lemahnya kami dan kurangnya helah kami.
Demikianlah kami dihadapan manusia.
Engkaulah Tuhan kepada ornag-orang yang lemah
dan Engkaulah Tuhan kami.
Kepada siapa Enkau tinggalkan kami.
Adakah kepada orang yang jauh yang akan meyerbu kami?
Atau kepada musuh yang berkuasa ke atas kami?

Ya Allah,
kami mengadu kepadaMu
darah-darah yang tertumpah,
maruah yang ternoda,
kehormatan yang diperkosa,
kanak-kanak yang diyatimkan,
wanita-wanita yang dijandakan ,
ibu-ibu yang kehilangan anak,
rumah-rumah yang diruntuhkan,
tanaman-tanaman yang dirosakkan.

Ya Allah,
kami mengadu kepadaMu
berseleraknya kesatuan (umat) kami,
berpecahnya perpaduan kami,
berbagai-bagainya haluan kami,
terbelakangnya kami.

Kami mengadu kepadaMu
betapa lemahnya kaum kami ,
betapa tidak bermayanya umat di sekeliling kami
dan betapa berjayanya musuh-musuh kami…"



Al Isti'jal Mendorong Penyakit Al Futur

Category: Tinta Jundi Published on 28 May 2011

Seorang da'ie, hendaklah sentiasa mengawal dirinya dari bersikap Al Isti'jal, atau dalam erti kata yang lain melakukan persediaan gerakan Islam ini perlu seperti lebah mentadbir sarangnya, di mana lebah terus berfungsi dan bergerak cergas tanpa sebarang pengabaian walaupun seketika sama ada siang atau malam. Mereka sama sekali tidak mengabaikan setiap peluang yang diperolehi. Apabila hasil diperolehi ia diterima dengan penuh ketenangan dan keselesaan. Jangan sama sekali bertindak gopoh ke atas sesuatu yang belum tiba masanya.


Sememangnya usaha memartabatkan Islam sering kali dicemari dengan pelbagai anasir asing yang pada hakikatnya di luar kerangka ajaran Islam itu sendiri. Kita biasa mendengar suara-suara bersemangat dan penuh emosi mencanangkan agar Islam kembali didaulatkan dengan apa cara sekalipun. Semangat berkobar-kobar untuk melihat Islam kembali tertegak dalam masa singkat lantas mendorong tingkah dan perilaku gopoh dan terburu-buru yang akhirnya mengundang fitnah dan kebinasaan.

Seperti yang disebut oleh Dr. Sayid Mohamad Nuh, isti’jal merupakan salah satu penyakit yang banyak diderita oleh para da’i, sehingga seringkali hal ini meskipun diiringi dengan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi. Gerakan Islam masa kini adalah tidak terkecuali dari menentukan kedudukan strategi menempuhi fenomena isti'jal ini. Marilah kita renungi kata-kata berikut yang penuh dengan cahaya di sepanjang jalan.

"Sesungguhnya medan untuk bercakap berlainan dari medan merancang, dan medan berkerja berbeza dengan medan bercakap, dan medan berjihad pula berbeza dengan medan beramal. Medan berjihad yang betul berbeza dengan medan berjihad yang salah. Agak mudah bagi kebanyakan orang untuk berteori dengan perancangan itu dan ini. Tetapi bukan semua teori yang berada di kepala mampu diukir ungkapannya melalui lisan. Dan sesungguhnya ramai yang mampu bercakap, tetapi agak sedikit dari kalangan mereka yang konsisten diperingkat amal dan tindakan. Dan ramai pula dari bilangan yang sedikit tadi mampu berkerja, tetapi sedikit pula dari kalangan mereka yang mampu menanggung bebanan jihad yang begitu berat, dan kerja-kerja yang begitu mencabar. Mereka inilah mujahid yang sebenar dan mereka terdiri dari bilangan yang kecil dari puak Ansar. Sungguhpun demikian, kadangkalanya mereka tersalah jalan, dan tidak menepati sasaran kiranya mereka tidak diberi pertolongan dari Allah. Dalam kisah Thalut akan menjelaskan lagi apa yang kami katakan".

"Maka bersedialah diri kamu dan dedahkannya dengan tarbiah yang betul dan ujian yang halus. Maka ujilah diri kamu dengan berkerja. Bekerja keras memang tidak menyeronokkan bahkan membebankan. Oleh yang demikian, hendaklah dihapuskan perasaan dan keinginan berehat serta cara hidup selesa. Kamu jangan sama sekali mensia-siakan setiap saat yang dimiliki tanpa berkerja. Maka pada ketika itu kamu akan mendapat pertolongan dan sokongan juga kemenangan dari Allah".

Sikap isti‘jal ditolak oleh agama, apatah lagi jika ia wujud dalam gerakan Islam ia mestilah ditangani sebaiknya. Rasulullah S.A.W pernah diminta oleh Khabbab bin Al Arat agar memohon kemenangan kepada Allah yang segera kepada Islam. Katanya,"Mengapa engkau Ya RasulAllah tidak mendoakan kita? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?"

Lantaran itu, Nabi dengan muka merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda,"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga menggelupas daging dari tulang dan dibelah dua badannya dengan gergaji, tetapi hal itu tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, Dia akan memberikan kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sana‘a ke Hadaral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga pengembala tidak bimbang dengan jagaan kambing-kambingnya terhadap ancaman serigala, tetapi kamu minta disegerakan!" (Riwayat Bukhari).

Pertolongan Allah itu pasti dan dekat, tetapi ia mempunyai masa dan tempoh waktu tertentu yang hanya diketahui Allah. Sebab itulah Rasulullah sentiasa berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersabar dan mendidik mereka supaya memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum tiba masanya. Ini diperkuatkan dengan firman Allah Taala,"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214)

Al Isti'jal mempunyai rupa bentuk dan wajah yang bermacam-macam di antaranya:
1]. Mereka yang dilibatkan dengan jamaah dakwah sebelum sampai ke tahap wajar dan sebelum dikenal pasti tentang keilmuan, kemampuan dan persediaan mereka.
2]. Memertabatkan setengah-setengah pendakwah ke tahap yang tinggi sebelum mereka matang dan stabil keperibadiannya.
3]. Melakukan tindak tanduk liar walaupun kecil yang tidak berfedah dan merosakkan dakwah.

Sifat tergesa-gesa ini adalah sebahagian dari watak manusia, seperti yang dinyatakan Allah Taala :

“Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa” (Al Isra':11).

“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa” (Al Anbiya':37)

Oleh karena itu, isti’jal itu adalah suatu tabiat yang pasti ada pada seorang manusia. Begitupun, ada kalanya sifat ini dibolehkan apabila persiapannya telah matang dan telah menguasai medan serta mempertimbangkan masak-masak akibat-akibat yang akan terjadi, sebagaimana kisah nabi Musa A.S.

"Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaum-mu wahai Musa. Berkata Musa; Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada-Mu ya Rabb-ku supaya Engkau redha (padaku)" - (Toha:83-84)

Sebaliknya, jika ia hanya bermodalkan emosional, semangat dan dorongan jiwa yang tidak berteraskan hati yang ikhlas mengharap redha Allah, maka di sinilah isti’jal merupakan sebuah ‘penyakit’.

Memerhatikan tahapan masa merupakan sunnatullah atau proses tabi'ie yang Allah wujudkan sebagai salah satu cara untuk menguji tahap keimanan dan ketakwaan manusia. Sebab itulah sesuatu perkara tidak akan disegerakan sebelum cukup tempoh waktu yang telah ditentukan baginya. Sememangnya tanaman apabila dituai sebelum masak dan buah dipetik sebelum tiba waktunya, tidak akan menghasilkan manfaat yang diharapkan malah kadangkala mendatangkan mudarat dan tidak bermanfaat.

Begitu juga dengan cita-cita untuk mendaulatkan Islam tidak akan tercapai dengan hanya bermodalkan semangat semata-mata. Ia juga bukan sekadar melayani gelodak emosi tanpa memperhitungkan natijah dan akibatnya. Sebaliknya penggarapan terhadap usaha pemartabatan Islam atau amal Islami harus dilakukan secara dewasa, matang dan penuh perhitungan.

Apa yang perlu diingati bahawa Al Isti'jal, tidak sepatutnya dibawa masuk sama sekali ke dalam manhaj gerakan Islam semasa. Petikan As Syahid Imam Hassan Al Banna ini seterusnya merupakan sebahagian dari manhaj gerakan Islam memperakui kenyataan di atas. Beliau memberikan peringatan khusus kepada golongan yang diistilahkan sebagai ‘al mutahammisun al muta‘jiluw (orang-orang yang terlalu bersemangat dan gopoh), di mana beliau tidak akan bersama dengan mereka yang mahu memetik buah sebelum benar-benar masak, aau menuai sebelum masuk musimnya;

"Wahai saudara-saudara kaum Muslim yang begitu bersemangat dan begitu tergesa-gesa. Dengarlah dari saya ucapan yang terulung dari mimbar muktamar kamu ini di mana jalan yang kamu terokai ini telah digariskan plan tindakannya serta agenda-agenda yang ditetapkan sempadannya. Saya sama sekali tidak akan melanggari sempadan ini, di mana saya begitu yakin bahawa ia merupakan jalan yang begitu selamat untuk sampai ke matlamat yang dituju".

Sememangnya jalan yang sedang dilalui ini agak jauh, tetapi disana tidak ada pilihan lain. Sesungguhnya ketrampilan seorang lelaki itu ialah melalui kesabaran, kesungguhan dan amal yang berterusan. Sesiapa sahaja dari kalangan kamu yang ingin memetik buah sebelum ia masak atau memetik bunga sebelumnya ianya mekar, maka saya sama Sekali tidak akan bersama dengannya. Orang yang bersikap demikian adalah lebih baik untuknya meninggalkan gerakan dakwah ini dengan menyertai gerakan dakwah yang lain. Bagi siapa yang terus bersabar bersama saya sehinggalah bertunas biji yang disemai dan tumbuh pokok yang ditanam, juga masak buah yang sedang memutik hingga sesuai untuk dituai, maka ganjarannya terpulanglah kepada Allah. Kita sama sekali tidak akan kehilangan ganjaran sebagai orang-orang yang berbuat baik. sama ada kita menang dan memperolehi kedaulatan atau kita syahid dan memperolehi kebahagian.

Saudaraku kaum Muslimin, kawallah dorongan perasaan dengan pertimbangan akal. Pastikan segala perancangan menepati hakikat dan realiti, dan hendaklah kamu mencari kebenaran di dalam khayalan (teori) yang melangit dan janganlah pula kamu terlalu cenderung kepada apa yang kamu ingini sehingga kamu mengabaikan (keputusan) yang lain tergantung-gantung. Kamu jangan sekali-kali bertembung dengan tabiat alam kerana ia tetap akan menang (melakukan perintah Allah secara istimrar).

Saudara kaum Muslimin, sesungguhnya kamu berusaha di jalan Allah dan mencari pahala serta inginkan keredhan-Nya. Kesemuanya itu adalah terjamin ke atas kamu selagi mana kamu ikhlas di dalam perlakuan dan tindakan. Allah sama sekali tidak membebankan tentang natijah atau hasil yang kamu capai. Tetapi apa yang dibebankan ialah kebenaran arah yang dituju (amal yang kita lakukan) dengan persiapan yang baik dan kemas. Selepas kita memenuhi semua tuntutan diatas, maka tindakan yang kita lakukan mungkin silap atau mungkin benar. Kiranya kita tersilap maka kita akan diberi ganjaran pahala sebagai amilin yang berjuang. Seandainya kita benar maka kita akan memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagai amilin yang berjaya dan menepati fungsinya".

Kata Imam Hassan Al Banna lagi,"Kamu hendaklah berkerja. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu. Allah sama sekali tidak akan mengabaikan amalan kamu. Kejayaan hanya akan dicapai oleh mereka yang berkerja. Dan Allah sama sekali tidak akan mensia-siakan iman kamu. Sesungguhnya Allah begitu amat pengasih dan penyayang kepada sekalian manusia". - Editor Tarbawi

Bahaya AIDS Al Haraki Dalam Gerakan Islam

SUATU PERINGATAN DARI USTAZ FATHI YAKAN
( Virus Merbahaya Yang Menyerang Harakah Dakwah Masa Kini )

Disediakan oleh :
Akhukum fiLlah, Ahmad Akhyari bin Ismail Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Muqaddimah

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.

Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini
? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Mengenal Virus Merbahaya
Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabk
an hal ini terjadi :

1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh.

Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata.

Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.

2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.

Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan mealisasikan tujuan-tujuannya.

Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.

3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemengan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.

Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.

Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.

Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.

5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligent dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah.

Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.

7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangai peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.

Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.

Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.

Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW.

Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).

Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.

Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.

Kesimpulan

Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.

Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.

Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan.....

Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan

Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan

Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia Wahai kalian yang rindu kemenangan…..

Wahai kalian yang turun ke medan Demi mempersembahkan jiwa dan raga Untuk Islam tercinta…..

sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...