Taat Dan Wala' Dalam Perspektif Harakah Islamiyah

Persoalan taat dan wala' sering kali diperbahaskan oleh para pendokong harakah Islamiah. Namun, seiring itu juga kita dapat memerhatikan gerak kerja dan sikap para anggota harakah bersalahan dengan kefahaman taat dan wala'. Tulisan ringkas ini bertujuan menjelaskan pengertian taat dan wala' kepada setiap individu yang bergabung dengan gerakan Islam dalam negara ini. Ketaatan kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri adalah suatu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Taala di dalam Al Quran.

Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil-Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. [ Surah An Nisa’:59 ]

Taat kepada Allah dan Rasul

Imam Ibnu Jarir At Tabari R.H dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah pada segala perintah dan larangan-Nya. Taatilah kamu kepada Rasulullah kerana ketaatan kamu kepada Rasul merupakan ketaatan kepada Allah. Kerana ketaatan kamu kepada Rasul itu adalah perintah dari-Nya”.

Kata Imam At Tabari lagi dalam meriwayatkan pendapat para ulama mufassirin yang lain,”Ayat ini adalah perintah Allah supaya mentaati Rasulullah S.A.W sewaktu baginda hidup pada segala suruhan dan larangannya serta mengikut sunnahnya setelah kewafatannya”.

Taat kepada Ulil Amri

Para ulama mufassirin berbeza berkenaan maksud Ulil Amri di antaranya :
1. Para pemimpin.
2. Para ulama, fuqaha’ dan agamawan.
3. Para Sahabat Nabi Muhammad S.A.W.
4. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Pendapat yang rajih (kuat) di sisi Imam At Tabari maksud Ulil Amri berdasarkan hadis-hadis yang sahih daripada Nabi S.A.W, Rasulullah memerintah agar taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu taat kepada Allah dan menjaga kemaslahatan umat Islam.

Dalam menjelaskan perkara ini al-Hafiz al-Imam Ibnu Katsir meriwayatkan dalam tafsirnya sebuah peristiwa yang berlaku ketika mana Nabi S.A.W menghantar sekumpulan tentera yang diketuai seorang lelaki dan memerintahkan para sahabat supaya taat kepadanya. Sampai di suatu kawasan, lelaki tersebut mengarahkan agar dikumpulkan kayu api dan dinyalakan. Lalu dia memerintahkan semua tentera agar terjun ke dalam api tersebut.

Kemudian ada seorang tentera membantah lalu diadukan hal itu kepada Rasulullah S.A.W apabila mereka kembali kepada Baginda. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda :

"Sekiranya kamu memasuki api itu, kamu tidak akan keluar darinya selama-lamanya. Hanya sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang makruf (baik)".

Dalam hadis yang lain, Abdullah Ibn Umar berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

"(Kewajipan) mendengar dan mentaati seseorang pemimpin Islam itu adalah pada perkara yang disenangi atau tidak senangi, selagi mana tidak disuruh melakukan maksiat. Jika disuruh melakukan maksiat, maka tiada lagi (kewajipan) mendengar dan mentaati".

Rasulullah menuntut Para Sahabat dari kalangan Ansar agar berjanji untuk memberi ketaatan dalam peristiwa Bai’at Al Aqabah Kedua sebelum Baginda S.A.W bersetuju untuk melakukan hijrah ke Madinah. Di dalam perjanjian itu Rasulullah bersabda :

“Berbai'ahlah kepadaku supaya memberi ketaatan ketika rajin dan malas, sanggup berinfak (harta) di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan orang, sanggup menolong aku apabila aku tiba ke tempat kamu (Madinah) dan sanggup mempertahankan nyawa aku sebagaimana kamu mempertahankan nyawa kamu, isteri-isteri kamu, anak-anak kamu dan bagi kamu syurga”.

Jelaslah berdasarkan nas-nas Al Quran dan Hadis bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah bersifat wajib dan mutlak. Manakala ketaatan kepada Ulil Amri (para pemimpin) tidak bersifat mutlak. Ia bergantung kepada sejauh mana pemimpin Muslim taat kepada Allah dan Rasulullah. Ketaatan itu hanya pada perkara yang makruf dan bukan dalam perkara maksiat.

Pengertian Wala’

Menurut Muhammad Said Al Qahtani dalam kitabnya Al Wala' wal-Barra' fil Islam, pengertian wala' dari segi istilah syarak ialah :

“Memberi pertolongan, kecintaan, kemuliaan dan penghormatan. Ini dilakukan kepada mereka yang diberikan wala' itu secara zahir dan batin”.

Di dalam Al Quran, Allah menjelaskan wala' itu hanya diberikan kepada Allah, RasulNYA dan orang-orang yang beriman. Hanya kepada mereka diberikan pertolongan dan kasih sayang berdasarkan aqidah dan keimanan. Firman Allah Taala :

“Hanya sesungguhnya wali (pelindung dan penolong) kamu ialah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa tunduk dan patuh (kepada Allah)..” [ Surah Al Maidah:55 ]

Imam At Tabari menafsirkan ayat ini dengan katanya,”Tiadalah bagi kamu sebarang wali (pelindung) dan penolong melainkan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang disebutkan dalam ayat ini sifat-sifat mereka”.

Mereka mestilah orang-orang yan mendirikan solat dan menunaikan zakat. Iaitu menunaikan hak Allah dan hak sesama manusia serta tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Ketaatan Yang Dituntut Dalam Harakah Islamiah

Dalam gerakan Islam, ketaatan itu mestilah diberikan oleh para anggota harakah kepada pemimpin. Ketaatan itu lahir daripada sikap saling mempercayai di antara pemimpin dan para pengikut. Para pengikut pula mentaati pemimpin atas dasar ketaatan pemimpin itu kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjuang menegakkan agama Allah.

Ini hanya berlaku apabila pemimpin berkenaan mempunyai keikhlasan dan menunjukkan contoh pengorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan yang didokong secara jama'ie oleh semua anggota harakah Islamiah.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, ketika rajin dan malas, di waktu senang dan susah, di masa lapang dan sibuk dan dilaksanakan dalam perkara yang tidak maksiat. Justeru itu, kegagalan anggota gerakan Islam mengikut arahan kepimpinan dari masa ke semasa akan mencacatkan perjalanan gerak kerja jamaah dan menyebabkan berlaku kepincangan dalam parti.

Pengajaran daripada peperangan Uhud sudah cukup memberi iktibar kepada kita tentang sekumpulan tentera pemanah yang melanggar arahan Nabi S.A.W apabila mereka meninggalkan bukit untuk mengaut harta ghanimah. Akhirnya tentera Islam mengalami kekalahan.

Dalam konteks Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang menyebut berkenaan ketaatan dan wala' yang dituntut dalam gerakan Islam di negara ini :

A) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

B) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

C) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan
Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada Rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadis yang menjadi rukun dan hukum tertinggi bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah
Menurut rukun dan hukum, adalah haram seseorang ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin
Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian, wala’ kepada pemimpin dalam pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Adakah kita benar-benar memberi wala' kepada pemimpin Harakah Islamiah (PAS)?

Jika kita memerhatikan sikap dan ragam mereka yang mengaku bergabung dengan Harakah Islamiah (PAS) akhir-akhir ini, ternyata mereka tidak mempunyai ketaatan dan tidak bersikap wala’ kepada pimpinan jamaah.

Seperti mana yang telah kita ketahui bahawa wala’ itu ialah memberi pertolongan, perasaan kasih sayang, kemuliaan dan penghormatan. Ini dilakukan kepada pimpinan yang diberikan wala’ itu secara zahir dan batin.

Wajib anggota harakah menunjukkan sikap wala' iaitu menghormati, mengasihi, mentaati dan membantu pimpinan sama ada secara peribadi yang zahir mahu pun naluri yang tercetus dalam hati. Menunjukkan sifat bermuka-muka secara berhadapan dan menyembunyikan sifat hasad dan kebencian dalam hati hanyalah menyerupai perangai yang dilakukan oleh orang-orang munafik kepada Rasulullah S.A.W.

Sikap memburuk-burukkan pimpinan yang dilakukan oleh sesetengah individu secara terang-terangan, melalui laman web, laman sosial dan sebagainya atas nama kebebasan bersuara tidak mencerminkan sifat mereka yang berakhlak dan memahami dengan sebenar-benarnya konsep taat dan wala' dalam perspektif Harakah Islamiah.

Sesungguhnya kemenangan itu hanya akan datang apabila kesemua ini dapat direalisasikan bersama oleh para pejuang Islam dalam akhlak berjamaah. Perhatikan firman Allah Taala ini :

“Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti mendapat kemenangan. Iaitu: orang-orang yang menjadikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya". [ Surah Al Maidah:56 ]

Oleh: Imran al-Malizi

Written by Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat Category: Tinta Jundi

Published on 20 June 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...