Bajet 2011 mentransformasi negara

Fri, Oct 15, 2010

Bajet 2011bmOleh M Jegathesan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2011 bertujuan untuk menarik pelabur asing yang enggan "mendarat" di negara ini berbanding negara-negara jiran yang lebih dinamik.

Najib menjanjikan projek infrastruktur berskala besar, liberalisasi pasaran kewangan dan "gula-gula" menjelang pilihan raya umum (PRU) seperti perumahan dan pengangkutan, bajet terakhir beliau sebelum PRU yang dijangka tahun depan.

"Belanjawan 2011 meliputi usaha untuk mentransformasi negara ini menjadi negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi dengan pembangunan yang inklusif dan berdaya tahan," kata Najib di Dewan Rakyat.

Malaysia sedang mengalami kemorosotan pelaburan langsung asing (FDI) yang teruk, jatuh 81% kepada US$1.4 bilion (RM4.3 bilion) pada 2009 dari US$7.3 bilion pada 2008.

Ekonomi negara jiran di Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia mengatasi Malaysia dengan lebih banyak aliran masuk modal luar.

BN kalah teruk

Najib, yang juga menteri kewangan, berusaha untuk menyuntik pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan sebelum PRU, selepas Barisan Nasional menerima kekalahan teruk dalam PRU 2008 di mana parti-parti pembangkang mencapai kejayaan besar.

Kerajaan telah mengumumkan penangguhan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah tiba masanya tahun depan berikutan protes daripada orang ramai.

Bajet ini termasuk skim untuk pembeli rumah buat pertama kali di mana deposit 10% dijamin oleh kerajaan, dan rebat 50% atas duti setem.

Kenaikan kadar tol yang dijadualkan untuk lebuhraya-lebuhraya utama di negara ini telah dibekukan untuk selama lima tahun.

Malaysia baru-baru ini mengumumkan pelan yang begitu optimistik untuk menggandakan jumlah pelaburan swasta dalam tempuh 10 tahun akan datang dan memacu pertumbuhan purata sebanyak 6% setahun bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

Ekonomi dijangka berkembang 5%-6%

Najib berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi untuk 2011 telah dinaikkan kepada 7% dari 6%, cita-cita yang begitu tinggi bagi merubah dari penguncupan 1.7% pada 2009. Ekonomi dijangka berkembang 5% – 6% pada 2011.

Beliau berkata, untuk menarik dana asing, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – yang dipersalahkan kerana menyekat persaingan – akan menjual pegangan mereka dalam syarikat-syarikat tersenarai, menambah "kecairan dan keaktifan urus niaga di pasaran".

Terdapat saham-saham utama yang ditawarkan, termasuk penjualan anak syarikat Petronas yang terlibat dalam aktiviti kimia, dianggarkan bernilai US$4.0 bilion.

Di antara projek-projek prasarana, sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan akan membangunkan sebuah bangunan setinggi 100 tingkat yang dijangka siap pada 2015 pada harga US$1.6 bilion.

Bangunan ini akan menjadi bangunan yang tertinggi di Malaysia, mengatasi Bangunan Berkembar Petronas.

BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima buah negeri pada PRU 2008. Kini parti pemerintah sedang bergelut untuk menawan kembali sokongan masyarakat Cina dan India.

Ia juga bimbang tentang kemungkinan kehilangan para pengundi tradisional iaitu orang-orang Melayu yang dominan dalam masyarakat berbilang kaum, kepada parti konservatif PAS, dalam Pakatan Rakyat.

- AFP

http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=9098

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...